Please Give Me BackLink If You Want To Copy http://www.prince91.com/2011/08/tutorial-untuk-blog-letak-facebook.html#ixzz1Y7eWtKs2 Under Creative Commons License: Attribution

Selasa, 12 Julai 2011

Khasiat Buah Kurma


Setiap kali tiba bulan Ramadan pasti kita akan membeli kurma atau buah tamar sebagai hidangan permulaan untuk berbuka puasa selain daripada hidangan lain yang menjadi juadah berbuka seperti nasi, lauk-pauk, mee goreng, laksa dan sebagainya.

Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud:

"Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terdapat kurma, maka Baginda Rasulullah s.a.w. akan berbuka dengan beberapa biji anggur.

Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Ahmad)
Sehubungan dengan hadis ini, ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata, "Rasulullah s.a.w. berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.”

Kurma adalah sejenis tumbuhan (palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai ´phonex dactylifera´ yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab terdiri daripada pelbagai jenis antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekah dan Madinah.

Di kalangan penduduk di negara-negara Arab, kurma adalah makanan utama mereka, malah masyarakat kita sudah mula menjadikan kurma sebagai bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah s.a.w.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar, katanya, "Aku melihat Rasulullah s.a.w. memakan buah-buahan dengan kurma masak.”

Rasulullah s.a.w. telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:

"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ´Ajwah´ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu."

Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah s.w.t. sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah s.a.w.

Terdapat juga di dalam al-Quran ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa a.s. sebagaimana yang tersebut di dalam surah Maryam yang bermaksud:

"Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak”. (Surah Maryam: 25)

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, apabila Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.

Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unsur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ia juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak dan pembentukan darah serta sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma ialah daripada Adiy bin Hatim, beliau berkata, "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.”
Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.

Buah kurma amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian bagi mereka yang mementingkan kesihatan agar sentiasa berada dalam keadaan baik, khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Kurma juga amat berkhasiat dan sesuai bagi pertumbuhan kanak-kanak.

Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah s.w.t.

Isnin, 11 Julai 2011

Selesema Babi : Tanda Akhir Zaman


Dunia kini dikejutkan dengan ancaman wabak penyakit yang berbahaya iaitu wabak selesema babi. Jika sebelum ini kita dikejutkan dengan pelbagai ancaman wabak penyakit seperti wabak selesema burung, denggi, JE, HIV dan chikungunnya, kini, selesema Babi adalah kombinasi daripada tiga virus iaitu Virus Selesema Burung, Virus Selesema Manusia dan Virus Selesema Babi.

Virus ini menyerang sistem pernafasan disebabkan oleh virus selesema jenis A (H1N1) yang mula dikesan sejak 1988. Sehingga 30 Ogos lalu, 2,837 orang disahkan meninggal dunia dan dianggarkan lebih 250,000 orang sebagai pengidap.

Wabak ini dikatakan ia mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selesema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia. Antara kesan yang dapat dikenal pasti apabila seseorang itu terkena wabak ini ialah:

1. Apabila suhu badan melebihi 37.8 darjah celsius
2. Sakit badan
3. Batuk
4. Berhingus
5. Bersin
6. Sesak nafas
7. Hilang selera makan
8. Muntah, dan cirit birit

Kini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran kepada semua negara agar mengambil langkah tegas mengawal penularan wabak ini. Jika kita perhalusi ancaman ini, adakah ini sebagai peringatan daripada Allah s.w.t? Di dalam Al-Quran banyak amaran kepada manusia yang mengkufuri dan melakukan maksiat kepada Allah s.w.t dengan pelbagai ancaman. Antara ancaman tersebut ada yang berbentuk kesengsaraan di dunia dan ada yang berbentuk kesengsaraan di akhirat.

Di antara kesengsaraan di dunia ialah seperti bencana alam, peperangan, kemalangan, dan serangan wabak penyakit.

Selain itu juga, di dalam Al-Quran juga ada memperingati tentang pengharaman babi yang akan membinasakan kehidupan manusia. Justeru itu, timbul di sini persoalan yang perlu difikir bersama iaitu apakah perkaitan antara pengharaman babi dengan wabak yang dahsyat ini? Benarkah virus boleh berubah dalam bentuk yang lebih bahaya pada babi? Menurut pengkaji, kuman-kuman virus daripada babi ini mampu berubah menjadi lebih berbahaya dari semasa ke semasa.

Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah al-Maidah: ayat 3, bermaksud: ‘Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.’

Berdasarkan ayat tersebut, jelas bahawa Allah s.w.t mengharamkan sesuatu perkara mempunyai hikmah yang tertentu. Antaranya, bertujuan membuktikan perhambaan diri kepada Allah s.w.t dan menyelamatkan manusia daripada kerosakan. Menurut kajian saintis, memakan daging babi menyebabkan seseorang boleh dihinggapi hampir 70 jenis penyakit.

Yakinlah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar, memenuhi keperluan fitrah setiap manusia. Oleh itu, pengharaman Islam terhadap babi, arak, zina, rasuah, judi dan sebagainya adalah untuk menjaga maslahah nyawa dan kehidupan manusia seluruhnya. Kalam ini mengharapkan adanya usaha yang terancang pihak kerajaan dalam menguatkuasakan pengharaman ke atas perkara-perkara yang jelas ditegah oleh Allah s.w.t.


Gejala dan tanda jangkitan virus itu adalah demam, batuk, sakit badan serta susah bernafas, selain dikesan berlaku di kalangan mereka yang mempunyai kaitan dengan ternakan babi. Sehingga kini belum ada vaksin khusus yang benar-benar berkesan untuk menentang virus itu.

Maka benarlah ia merupakan tanda-tanda akhir zaman dan alam ini menghampiri ke penghujungnya. Sesuatu benda akan pasti mati dan musnah dan alam ini pasti juga musnah. Tanda-tanda kiamat kecil sudah ada kesemuanya, yang belum muncul hanyalah tanda-tanda besar. Ini adalah peringatan dan pengiktibaran kepada semua umat manusia supaya kembali kepada Islam yang sebenarnya. Hanya orang yang benar-benar beriman akan memahami isyarat-isyarat ini.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa dunia ini telah hampir akhir zaman bahkan baginda mengumpamakan seperti seorang yang terlalu bongkok. Tentang fenomena alam yang terjadi dan penyakit-penyakit ganjil (seperti Coxsackie, JE, SARS, Selesema Burung dan kini Selesema Babi pula) disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai tanda-tanda kiamat.

Dari Ibnu Umar Rasulullah s.a.w bersabda; ‘Bagaimana keadaan kamu ketika lima perkara berlaku di kalangan kamu, dan aku berlindung dengan Allah dari terjadinya perkara itu kepada kamu atau kamu sempat menempuhnya. Tidak timbul kemungkaran di kalangan satu-satu bangsa melainkan mereka melakukannya secara terang-terang, akan timbul penyakit taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada terhadap orang-orang sebelum mereka (penyakit ganjil).’